MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan beliau tiada maklumat sama ada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan ditahan atau tidak.
Jelasnya, ini kerana sekiranya ada tangkapan, ia adalah di bawah bidang kuasa polis bukannya arahan menteri.
Menurutnya, beliau ada membaca kenyataan dikeluarkan polis semalam dan menyifatkan ia sebagai tidak bagus dalam suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini.
“Saya tidak ada maklumat sehingga saya baca kenyataan polis. Ini tidak bagus dengan suasana kita bertarung (dalam PRN) kita bawa elemen tidak pasti.
“Apakah ada kemungkinan (Sanusi ditangkap), saya tidak boleh jawab bagi pihak itu sebab penguatkuasa ini polis,” katanya pada sidang media selepas mengadakan walkabout bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Pekan Naka, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata demikian mengulas pertanyaan media sama ada Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu akan ditangkap tidak lama lagi.
Semalam, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), ACP Skandaguru Anandan dalam kenyataan menafikan pihaknya telah menahan Sanusi. –Malaysiapost