SEMUA calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan layak menjadi Menteri Besar.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya tidak mahu mengumumkan calonnya buat masa ini.
“Mereka semua layak bukan sahaja jadi wakil di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), tapi juga layak jadi pemimpin besar (Menteri Besar) di Negeri Sembilan.
“Jadi tak perlulah kita nak umum sesiapa dan insya-Allah kita sedang berbincang perkara ini bersama pimpinan,” katanya selepas Sembang Santai di Juasseh, malam tadi.
Diminta mengulas sama ada PN berhasrat mengikut jejak langkah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk mengisytihar harta, Hamzah berkata, gabungan itu belum membuat keputusan mengenainya.
“Buat masa ini kita tidak buat satu keputusan untuk isytihar harta calon-calon kita.
“Tunggulah selepas menang nanti boleh kita lakukan kalau ia diperlukan,” katanya. – Malaysiapost