Sokong PN untuk selamatkan Umno tak rasional – Khaled Nordin

SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin dianggap tidak rasional apabila meminta ahli Umno menyokong gabungan itu jika mereka sayangkan parti.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya yakin dan percaya bahawa ahli Umno akan terus setia bersama parti untuk meneruskan dasar dan perjuangan.

“Macam dia (Hamzah) lompat dari Umno dululah nak selamatkan Umno. Saya ingat dalam kempen ini orang akan cakap macam-macam dan ada yang tak wajar serta tak rasional.

“Lebih-lebih lagi kita sertai ini (Kerajaan Perpaduan) untuk pastikan pertama dapat wujudkan perpaduan lebih besar dan keduanya pastikan Malaysia terus amalkan kesederhanaan di mana negara ini mempunyai rakyat berbilang kaum.

“Kita perlu pastikan jika hanya dengan kerjasama boleh tingkatkan lagi kehadiran dan sumbangan kita supaya lebih impak selain tak boleh ada mana-mana (parti) bergerak secara solo atau bersendirian. Jadi berasaskan pada itu kita seru rakyat menerima kesederhanaan dan bukannya taksub serta sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Klinik Pakar Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus.

Sabtu lalu, Hamzah meminta ahli Umno menyokong PN sekiranya mereka sayangkan masa depan parti itu kerana mendakwa cara itu saja yang dapat mengubah masa depan Umno, sekali gus membolehkan ia diterima semula oleh rakyat. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights