BEKAS Ketua Bahagian Bersatu Jerlun, Kedah, Abdul Ramli dilucutkan keahlian dalam parti itu susulan tindakannya bertanding sebagai calon bebas.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata keahlian individu terbabit terlucut serta-merta kerana melanggar kesalahan Fasal 10.2.4 Perlembagaan parti kerana bertanding sebagai calon bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh.
“Bersatu memandang serius isu pelanggaran disiplin dan akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mensabotaj calon Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum negeri kali ini.
“Bersatu sebelum ini juga telah memecat seorang ahli parti dari Bahagian Hulu Selangor dan menggantung keahlian dua yang lain, selama tiga tahun, disebabkan kesalahan sabotaj ketika kempen pilihan raya berlangsung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli serta jentera parti supaya memberikan tumpuan serta fokus sepenuhnya terhadap kempen yang berbaki lima hari lagi.
Katanya, ia bagi memastikan kemenangan kepada semua calon PN, sama ada yang bertanding di bawah lambang PN atau PAS, seterusnya menterjemahkan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN). – Malaysiapost