Badan perundangan negeri ada kuasa gubal undang-undang kesalahan jenayah syariah – Mohd Na’im

BADAN perundangan negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah bagi kesalahan pelanggaran rukun-rukun Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan diperkenan oleh Sultan dan Raja Pemerintah di setiap negeri sebelum dikuatkuasakan.

“Usaha bagi memartabatkan undang-undang Syariah merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam negeri bagi memastikan undang-undang Syariah yang telah digubal oleh Badan Perundangan Negeri dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas berkaitan keabsahan undang-undang jenayah syariah menerusi kes di Mahkamah Persekutuan itu merujuk kes Nik Elin Zurina Lawan Kerajaan Negeri Kelantan.

Mohd Na’im berkata, kes berkenaan masih di peringkat prosiding di Mahkamah Persekutuan Malaysia dan sebarang komentar berkaitan kes itu diklasifikasikan sebagai sub-judice.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak termasuk pihak berkuasa agama Islam negeri, badan berkanun berkaitan agama Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepentingan terhadap Islam untuk terlibat sama di dalam kes berkenaan.

“Ia sama ada sebagai pencelah (intervener), watching brief atau sahabat mahkamah (amicus curiae),” katanya.

Menurut Mohd Na’im, pihaknya memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa mempertahan serta menambahbaik institusi kehakiman syariah di negara ini.

“Dalam hal ini, JPM (Hal Ehwal Agama) sentiasa bekerjasama rapat bersama pihak berkuasa agama Islam negeri termasuk institusi perundangan dan kehakiman syariah negeri yang terletak secara mutlak di bawah Sultan dan Raja Pemerintah setiap negeri,” katanya,

Selain itu, katanya, pihaknya telah merangka agenda memperkasa institusi mahkamah syariah melalui Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, jawatankuasa itu telah diperakukan sebagai sebuah Jawatankuasa di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights