Manifesto Kerajaan Perpaduan Selangor beri nilai tambah kempen calon – Mohd Imran

TAWARAN Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor, manifesto Kerajaan Perpaduan Selangor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dilihat menjadi nilai tambah kepada kempen calon-calonnya yang bertanding.

Bagi calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin, tawaran yang diumumkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, banyak membantu dalam kempennya meraih undi.  

“Sudah pasti ia banyak membantu khususnya beberapa agenda besar yang kita boleh jayakan bersama dan menjadi nilai tambah dalam kempen saya.

“Antaranya, daerah Sabak Bernam ini adalah daerah yang paling utara di Selangor, walaupun ada jaringan jalan raya yang agak baik dengan jalan persekutuannya dinaik taraf, namun kita masih lagi ketinggalan daripada segi jaringan hubungan antara satu bandar ke bandar lain.

“Dalam Lima Tekad Lima Tahun, tawaran juga membabitkan inisiatif pelaksanaan jaringan rel yang akan sampai ke daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Ini akan memberikan satu harapan baru dan peluang potensi baru kepada penduduk di sini dan meningkatkan ekonomi setempat,” katanya ketika ditemui Malaysiapost.

Beliau berkata, agenda besar keduanya yang telah pun mula dilaksanakan di Selangor adalah Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang dijangka akan menarik pelaburan lebih RM1.9 bilion dan mencipta lebih 3,500 peluang pekerjaan.

“Saya mahu manfaat dalam agenda ini dapat masuk ke dalam DUN Sungai Panjang kerana kawasan ini kaya dengan potensi agro pelancongan dan eco pelancongan kerana di sini ada pelbagai tarikan.

“Saya rasa agenda ini kita dapat laksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang selain pelbagai bantuan yang ditawarkan dalam manifesto berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai manifesto Perikatan Nasional (PN) Selangor pula, beliau berpandangan sebahagian besarnya adalah ulangan atau adaptasi daripada inisiatif dan pelaksanaan sedia ada.

“Selebihnya saya rasa ia adalah retorik dan hanyalah janji manis untuk ‘mengula-gulakan’ rakyat negeri Selangor. Berbeza dengan Kerajaan Perpaduan Selangor yang mempunyai tekad yang jelas.

“PN juga dilihat tidak bersedia untuk menamakan siapa yang akan menerajui kepimpinan kalau mereka menjadi kerajaan negeri kelak.

“Jika mereka tidak bersedia menamakan siapa calon Menteri Besar..jangan ceritalah tujuh tunjang atau apa pun tawaran kalau tak boleh menamakan siapa yang boleh menerajui kepimpinan negeri,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights