PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan kononnya beliau ‘menjual kerusi’ kepada calon yang dipertaruhkan di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau berkata, sekiranya dakwaan itu benar, pasti parti itu kini tidak berdepan dengan masalah kewangan seperti pada masa ini.
“Kalau lihat, kami berkempen dengan begitu ala kadar, kami tak ada jual kerusi, malah bebanan kepada pimpinan dalam menghadapi pilihan raya ini amat getir dan besar.
“Tak apalah, kepada mereka yang telah membuat dakwaan fitnah bahawa saya telah menjual kerusi itu, saya ampunkan supaya mereka tak payah cari saya di Padang Mahsyar nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best di Sendayan, malam tadi.
Sebelum ini, calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN Sikamat, Mohammed Hafiz Baharudin dilapor mendakwa wujud elemen ‘jual kerusi’ dalam pemilihan calon PN Negeri Sembilan.
Ini kerana, dakwa Mohammed Hafiz, senarai calon yang diketengahkan sangat lemah dan tidak berpotensi untuk menang.
Dalam pada itu, ditanya mengenai keyakinan PN memenangi sekurang-kurangnnya 19 kerusi DUN Negeri Sembilan, Ahmad Faizal berkata, mereka optimis ia mampu dicapai untuk membolehkan parti itu membentuk kerajaan negeri.
Katanya, bukan sahaja sokongan orang Melayu, sebaliknya dapatan kajian dalam tempoh seminggu ini mendapati berlaku angin perubahan sokongan oleh pengundi Cina dan India.
“Sekarang gerak kerja kita amat cantik dan saya lihat perkembangan positif (dan) ada potensi (PN) mendapat 19 kerusi atau lebih untuk tubuh kerajaan kerana bukan sahaja mendapat pengundi Cina tapi juga India yang di dapati berlaku perubahan amat ketara,” katanya. – Malaysiapost