‘Biarkan PAS meroyan’ – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa akan ada perubahan Kerajaan Persekutuan jika Perikatan Nasional (PN) menang enam negeri Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perdana Menteri berkata, penubuhan Kerajaan Pusat itu tertakluk kepada Perlembagaan yang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua per tiga daripada Ahli Parlimen.

“Saya tanya Hadi, kamu faham ke Perlembagaan Malaysia? Yang menentukan kedudukan Putrajaya adalah Ahli Parlimen, malah parti Sabah dan Sarawak juga menyatakan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan.

“Tidak salah PAS mahu meroyan. Biarkan dia meroyan, namun saya nak tanya kamu nak memerintah buat apa?.

“Masalah air di Kelantan pun tidak selesai, sedangkan saya yang baru beberapa bulan sudah meluluskan dengan segera RM500 juta untuk masalah air di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani di Tanah Merah, malam tadi.

Terdahulu, Abdul Hadi mendakwa akan berlaku perubahan dalam Kerajaan Pusat sekiranya PN memenangi kesemua enam negeri pada PRN nanti.

Sebelum ini media melaporkan, parti dari Sabah dan Sarawak yang bersama Kerajaan Perpaduan ketika ini tetap memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Anwar untuk kekal mentadbir negara selepas PRN. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights