KEDAH menjadi negeri paling tinggi mencatatkan peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal hari ini, iaitu sebanyak 23 peratus sejak pusat pengundian dibuka jam 8 pagi tadi.
Ia berbanding lima negeri lain iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu antara 17 hingga 22 peratus.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya berharap prestasi itu dapat dikekalkan bagi memastikan kumpulan pengundi awal yang terdiri daripada polis dan tentera dapat melepasi 97 peratus seperti dicatatkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Untuk sejam pertama kira-kira 17 peratus untuk Selangor, ada negeri yang tinggi sampai ada 23 peratus, saya nampak prestasi ini berbagai-bagai, jadi insya-Allah dengan sambutan yang meriah ini saya berharap pada pengundi awal akan mencapai pengundi yang tinggi.
“Setiap negeri berbeza-beza ada yang 20, 22 dan 23 peratus. Paling tinggi di Kedah pada sejam pertama sehingga pukul 9 pagi tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat pengundian awal di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Abdul Ghani dalam pada itu turut mengharapkan jumlah peratusan pada hari pengundian 12 ogos nanti akan turut mencatatkan peratusan memberangsangkan seperti PRU15 lalu.
Seramai 49,660 tentera dan 47,728 polis bersama pasangan masing-masing boleh mengundi pada pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini membabitkan 260 pusat mengundi.-Malaysiapost