Ketua pendakwa kes rasuah Zahid digugurkan

TIMBALAN Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kini, tidak lagi mengendalikan kes berkenaan, lapor New Straits Times (NST).

Terdahulu, Raja Rozela mengetuai pendakwaan kes Timbalan Perdana Menteri yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

NST sebelum ini melaporkan, perbicaraan yang bersambung minggu lalu diteruskan tanpa kehadiran Raja Rozela, yang kemudian mengesahkan bahawa beliau dikeluarkan daripada mengendalikan kes berkenaan.

Sumber akhbar itu memaklumkan, beliau tidak lagi bersama pasukan pendakwaan, namun alasan di sebalik tindakan itu tidak dinyatakan.

Cubaan NST untuk mendapatkan maklum balas daripada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harus dan seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya yang terbabit dalam perbicaraan itu, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, bagaimanapun gagal.

Sementara itu, Raja Rozela ketika dihubungi NST, enggan untuk memberi sebarang komen.

“Saya adalah penjawat awam…Saya tidak dibenarkan untuk memberi komen. Minta maaf,” katanya dipetik sebagai berkata.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 70, didakwa menggunakan dana yayasan berkenaan untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, memindahkan wang ke firma guaman dan membuat sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika membela diri pada 22 Mei tahun lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi, baki wang dalam akaun peribadinya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kredit miliknya tanpa menggunakan dana Yayasan Akalbudi. – Malaysiapost

Kredit foto: Berita Harian

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights