SOKONGAN terbuka terhadap Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kini semakin jelas walaupun di negeri yang menjadi kubu kuat parti pembangkang.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berdasarkan respon yang diperolehnya ketika turun berkempen di beberapa lokasi di Negeri Sembilan dan Terengganu.
“Saya sudah pergi ke beberapa tempat seperti di Negeri Sembilan, dua kawasan Parlimen iaitu Kuala Pilah dan Tampin. Saya pergi ke Terengganu di Besut.
“Nampak perkembangannya begitu baik. Saya lihat sokongan secara terbuka kepada BN amat jelas, walaupun negeri-negeri tertentu seolah-olah parti lain itu begitu kuat tapi apabila saya pergi, sambutannya amat memberangsangkan.
“Jadi saya rasa ini merupakan isyarat kepada undi yang akan diberikan 12 Ogos nanti,” katanya selepas menghadiri program Kenduri Rakyat di Felda Sungai Kelamah, malam tadi.
Ismail Sabri yang juga Ketua Umno Bahagian Bera berkata, adalah sukar untuk menjangkakan gelombang yang sama dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) turut berlaku dalam PRN kali ini.
“Saya mungkin tak pergi ke semua negeri tetapi di kawasan yang saya pergi seperti di di Felda Sungai Kelamah, sambutannya meriah dan responnya begitu positif pada BN.
“Besut juga merupakan kubu Umno, jadi sambutan yang diterima memberangsangkan. Saya harap sambutan sama juga di tempat lain,” katanya. – Malaysiapost