Raja Rozela bersara awal, Dusuki ketua pendakwaan baharu kes rasuah Zahid

TIMBALAN Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran tidak lagi mengendalikan kes rasuah membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana akan bersara awal mulai 1 November depan.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, yang memaklumkan perkara itu, berkata Raja Rozela yang mengetuai pasukan pendakwaan sebelum ini telah mengemukakan permohonan pada 3 April lalu untuk bersara awal dan diluluskan berkuatkuasa 1 November

Oleh sebab itu katanya, Timbalan Pendakwa Raya itu tidak lagi mengendalikan kes berkenaan dan digantikan dengan Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang dipilih sebagai ketua pasukan pendakwaan baharu, berdasarkan pengalaman luasnya hampir 30 tahun sebagai timbalan pendakwa raya.

Tegasnya, keputusan Jabatan Peguam Negara menggantikan Timbalan Pendakwa Raya itu dibuat selepas membuat pertimbangan yang teliti.

“Mohd Dusuki etika ini adalah Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes berprofil tinggi termasuk kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

“Susulan laporan media berhubung ketua pasukan pendakwaan membabitkan Timbalan Perdana Menteri digantikan baru-baru ini, Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa keputusan untuk menggantikan Raja Rozela dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor dan dengan membuat pertimbangan yang teliti.

“Raja Rozela sudah mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada 3 April 2023. Permohonannya diluluskan dan akan berkuat kuasa pada 1 November 2023. Selanjutnya, Raja Rozela memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos 2023,” katanya dalam kenyataan.

Idrus berkata, memandangkan kes membabitkan Ahmad Zahid masih berlangsung dan tarikh perbicaraan ditetapkan sehingga Disember depan, maka seorang ketua pasukan yang baharu perlu dilantik dari sekarang bagi memastikan kesinambungan kes pendakwaan.

Katanya, keputusan itu dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid tidak terjejas.

Selain itu katanya, ia bagi memastikan Jabatan Peguam Negara dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini, media melaporkan Raja Rozela yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dihadapi Ahmad Zahid, tidak lagi mengendalikan kes berkenaan.

Beliau sebelum ini mengetuai pendakwaan, di mana Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights