Hadi pertahan dakwaan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan sokong PN

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan dakwaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan, sekiranya gabungan itu menang di enam negeri, Sabtu ini.

Beliau mendakwa, terdapat Ahli Parlimen di dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk dari Umno serta Sabah dan Sarawak yang akan menyokong PN, sekali gus berlaku perubahan dalam kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Asal (ada) 10 Ahli Parlimen Umno nak sokong kita, mungkin 15 (Ahli Parlimen) tapi mereka ini dipaksa, diugut yang ada kes nak bawa ke mahkamah menyebabkan orang Umno ini dalam ketakutan.

“Maka ditubuhkan Kerajaan Perpaduan dalam keadaan kacau-bilau, Kerajaan Perpaduan tapi balah sama sendiri, yang parti dalam kerajaan bantah kerajaan sendiri,” katanya pada Ceramah Mega PRN15 di Markas PAS Kampung Bukit Kecil Langkap di Setiu, malam tadi.

Abdul Hadi berkata, pembentukan kerajaan Pusat baharu itu penting untuk menyelamat agama, bangsa dan negara di mana kemenangan PN pada PRN kali ini perlu bagi membolehkan perubahan itu dilakukan.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus memerintah negara ini walaupun PN sibuk mendakwa perubahan tampuk pentadbiran akan berubah pada bulan ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights