Farid Kamil sah cerai Diana Dianelle talak satu, lafaz menerusi Google Meet

AKTRES Diana Dianelle akhirnya bercerai talak satu dengan aktor dan pengarah, Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, hari ini.

Difahamkan, lafaz cerai dilafazkan Farid di hadapan Hakim Syarie Syukran Yusof, menerusi Google Meet memandangkan pelakon itu tidak menghadirkan diri ke mahkamah kerana kurang sihat.

Menurut Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, dia bersyukur kerana proses perceraian itu berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, kita dah boleh tutup buku dan mulakan hidup baharu. Harapnya kita menjadi orang yang lebih baik. Soal perasaan (ketika talak dijatuhkan), saya tidak mahu mengulas lanjut kerana bagi saya ia terlalu peribadi.

“Cuma, saya tidak nafikan ia merupakan perkara yang sukar bagi saya dan Farid untuk lakukan,” katanya di luar pekarangan mahkamah.

Mengulas lanjut, pelakon drama Camelia itu memberitahu sudah lama bersedia secara mental untuk menghadapi hari ini (perceraian).

“Saya memang sudah bersedia untuk menghadapi perkara ini, dan saya hanya menyimpan segala perasaan itu di ‘belakang pintu’.

“Perihal anak pula, seperti biasa kami perlu menjalankan tanggungjawab dan amanah masing-masing. Apa yang penting kami cuba untuk jadi ibu bapa yang baik untuk anak-anak,” ujarnya.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Diana menfailkan tuntutan cerai awal mac lalu namun Farid enggan melafazkan talak terhadap isterinya itu.

Diana dan Farid telah melalui proses Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) seperti yang ditetapkan mahkamah namun gagal menemui jalan penyelesaian. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights