PDRM sedia bantu SPRM kes menantu Muhyiddin – KPN

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses permohonan notis merah terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang peguam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kerjasama seperti itu adalah satu perkara biasa antara agensi kerajaan.

“Perkara ini tidak menjadi masalah antara sesama agensi kerajaan dan kami (PDRM) akan membantu mereka dalam melengkapkan proses permohonan notis merah berkenaan.

“Kita akan berikan apa sahaja bantuan yang boleh kepada mereka (SPRM),” katanya.

Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengumumkan untuk memohon notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap dua individu yang dipercayai melarikan diri keluar negara.

Kedua-dua mereka Muhammad Adlan Berhan, 48, yang juga menantu Muhyiddin dan peguam Mansoor Saat, 69, disiasat SPRM berkaitan kes penyelewengan projek pendaftaran pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Bagaimanapun, Muhammad Adlan dalam satu kenyataan melalui peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu menafikan beliau lari daripada pihak berkuasa dan menyatakan akan pulang ke tanah air bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights