CALON Perikatan Nasional (PN), Baddrol Bakhtiar berpesan kepada semua pengundi terutama yang akan mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun supaya membuat keputusan bijak ketika mengundi esok.
Berbaki kurang 24 jam sebelum hari pengundian, bekas kapten pasukan bola sepak Kedah turut berharap mereka tidak tersilap memilih bakal pemimpin kerana pemimpin itulah yang akan mengangkat suara mereka selepas ini.
“Semoga anda semua membuat keputusan yang bijak dalam memilih pemimpin yang akan mengangkat suara-suara rakyat kelak.
“Jangan silap pilih. Pilihan hanya satu, PN yang terbaik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Baddrol dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada pengundi Gurun di perantauan kerana sudi pulang menunaikan tanggungjawab.
“Bagi yang belum sampai, saya doakan semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju,” tulisnya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Baddrol yang pertama kali bertanding sebagai calon DUN Gurun, Kedah bakal berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari. – Malaysiapost