Malaysia jadi negara hebat jika Kerajaan Perpaduan perintah lima tahun lagi -PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim yakin Malaysia akan menjadi sebuah negara hebat di Asia, jika Kerajaan Perpaduan terus diberikan kepercayaan mentadbir untuk lima tahun lagi.

Perdana Menteri berkata, ia berdasarkan rekod prestasi kerajaan yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif membela isu rakyat sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara, lapan bulan lalu.

“Baik padi, baik getah, rumah polis, rumah tentera, gaji penjawat awam, nelayan kita cuba maksimum dalam masa lapan bulan.

“Bayangkan kalau kita boleh perintah lima tahun, insya-Allah Malaysia akan jadi hebat sebagai satu negara Asia,” katanya pada majlis makan tengah hari di gerai Gulai Kalut Hot Stall, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Anwar berkata, kerajaan kini mempunyai pelbagai perancangan untuk rakyat termasuk membela gaji pekerja swasta.

Beliau berjanji ia akan dilaksanakan selagi mana beliau masih memimpin Kerajaan hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meminta pengundi di kawasan Melayu terutamanya, untuk memberikan sokongan kepada calon-calon gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, esok.

“Kawasan Cina nampak teratur, terjamin. Saya hendak kawasan Melayu bagi sokongan. Saya minta (calon-calon) kerjalah dan insya-Allah, ini amanah yang kita akan pikul untuk membela nasib rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights