Pelabur asing takut Pas perintah Malaysia – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan pelabur asing menyuarakan kebimbangan mengenai pelampau agama yang muncul di Utara tanah air sebelum melabur di negara ini.

Menurutnya, perkara itu dipersoalkan oleh syarikat Infineon Technologies AG sebelum mereka membuat keputusan menambah pelaburan di Malaysia. 

“Infineon, syarikat besar dari Jerman yang ada di Melaka dan Kulim buat keputusan sama ada nak menambah pelaburan di Malaysia atau tidak. Pelaburan sebanyak 5 bilion Euro atau RM25 bilion. 

“Pengurusannya datang jumpa saya dan saya panggil Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan dia (Infineon) tanya beberapa soalan,” katanya ketika memberi amanat khas dalam Program Grand Finale Kuala Selangor di Tapak Pasar Malam Bestari Jaya, malam ini.

Beliau berkata, antara soalan yang ditanya adalah adakah benar politik Malaysia kini stabil dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung ketika ini.

“Saya terangkan..saya beri kenyataan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta Sabah dan Sarawak. Okay dia yakin.

“Dia kata dia teliti Ekonomi Madani dan dia puas hati dan dia minta beberapa penjelasan yang kemudian saya jelaskan.

“Soalan ketiga. Bahaya golongan pelampau agama yang muncul di utara..maksudnya Pas. Ya dia tanya. Sebelum dia nak melabur RM25 bilion..dia takut puak-puak ini perintah,” katanya.

Anwar berkata, beliau kemudian menegaskan perkara itu adalah tanggungjawabnya untuk memastikan ia tidak berlaku.

“Saya jawab itu adalah tugas saya untuk selamatkan negara ini. No way! Insya-Allah. Tanggungjawab saya nak selamatkan negara.

“Alhamdulillah dia terima..masa itu belum buat kenyataan (umumkan) masa dia datang. Dia beritahu jangan buat kenyataan kerana Lembaga (Pengarah) belum putuskan..sebab ada negara lain yang pujuk dia masuk (melabur).. Amerika dan Jerman sendiri minta dia tambah pelaburan di Jerman.

“Akhirnya mereka pilih (Malaysia) seminggu yang lalu..kenapa? Selepas kita beri keputusan…siapa? Kerajaan Malaysia..Kerajaan Perpaduan Malaysia..ini yang berlaku,” katanya.

Justeru beliau meminta semua agar memastikan Kerajaan Perpaduan dipertahankan dalam PRN kali ini.

“Saya yakin kalau kita dapat pertahankan Selangor, kita menang bergaya di Negeri Sembilan dan Pukau Pinang serta dapat tembusi satu dua negeri lain..kita boleh tumpu dalam pembangunan. 

“Kita tak banyak masa lagi, tolong selamatkan jangan cuai ini adalah demi selamatkan diri kita, keluarga kita, negeri dan negara kita,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights