SPR jangka lebih 85 peratus keluar mengundi esok

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu esok melebihi 85 peratus.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, jika dapat dicapai, ia akan melebihi peratusan sebanyak 74.7 peratus yang direkodkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lalu.

Justeru, Abdul Ghani menyeru semua pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi negara.

Beliau juga menasihatkan pengundi supaya jangan sesekali menyerahkan kad pengenalan kepada individu tidak dikenali selain daripada petugas SPR untuk tujuan semakan.

“Kita (SPR) bersama pasukan keselamatan sudah pun bersedia untuk menangani apa-apa masalah dan saya juga berbincang dengan pihak berkuasa untuk menangani sebarang isu berkaitan esok.

“Jadi jangan bimbang dan keluar mengundi macam biasa,” katanya selepas mengadakan lawatan dan menghadiri taklimat persediaan akhir Pusat Semakan Peti Undi di Semarak Hall Cyberjaya yang juga pusat penjumlahan rasmi undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, hari ini.

Abdul Ghani berkata, pengundi juga digalakkan mengundi mengikut waktu yang dicadangkan bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengundian.

Dalam pada itu, beliau berkata, persiapan di semua pusat mengundi PRN dan PRK Parlimen Kuala Terengganu berjalan dengan baik dan tiada perkara yang tidak diingini dilaporkan berlaku.

Esok, hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Turut diadakan serentak PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights