KEPUTUSAN terjun dalam dunia politik ternyata tidak menghampakan bagi dua bekas pemain bola negara, Baddrol Bakhtiar dan Radhi Mat Din apabila kedua-dua mereka berjaya menewaskan lawan masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, hari ini.
Baddrol Bakhtiar yang juga bekas pemain kebangsaan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.
Berdasarkan kepada keputusan tidak rasmi menyaksikan Baddrol yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh 16,443 undi.
Keputusan itu sekali gus jauh meninggalkan pencabarnya dari Pakatan Harapan (PH) Firdaus Johari yang memperoleh 10,758 undi.
Sementara itu, Radhi yang juga legenda bola sepak Kedah mencipta sensasi bergelar Yang Berhormat selepas memenangi kerusi DUN Alor Mengkudu.
Keputusan mengejutkan itu menyaksikan Muhammad Radhi memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 10,104 undi sekali gus menewaskan pencabarnya Datuk Mahfuz Omar.
Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, hanya memperoleh 8,832 undi sementara Radhi memperoleh 18,936 undi selepas kesemua 68 peti undi tiba di Pusat Penjumlahan DUN itu di Maktab Mahmud, hari ini.
Mengikut rekod, pentas politik bukanlah asing buat Radhi apabila beliau sebelum ini pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 untuk merebut kerusi Parlimen Pokok Sena.
Bagaimanapun, nasib jelas tidak berpihak kepadanya apabila tewas kepada Mahfuz dengan majoriti sebanyak 5,558 undi.
Sementara, Baddrol membuat keputusan besar dalam hidupnya apabila bersara daripada dunia bola sepak untuk bertanding sebagai calon PN di Kedah. – Malaysiapost