Kecoh peti undi tak diikat di SK Sri Relau

PROSES pengundian di salah satu saluran mengundi di Sekolah Kebangsaan Sri Relau, Paya Terubong, Pulau Pinang tertangguh seketika selepas sebuah peti undi didakwa tidak diikat.

Perkara itu disedari calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Terubong, Ooi Ghee Oon kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Beliau kemudian meminta pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pengundian bagi saluran itu, yang sepatutnya mempunyai 719 pengundi.

“Lebih kurang 11.30 pagi, saya telah melawat ke pusat mengundi. Bila saya sampai di SK Relau, saya telah mendapati ada peti undi yang tidak ditutup.

“Jadi saya terus menghentikan saluran itu daripada menerima pengundi sehinggalah pihak SPR dan polis datang ke kawasan itu.

“Tetapi bila saya rujuk mereka, mereka kata mereka dapat arahan untuk seal (ikat) semula sahaja peti tersebut. 

“Ini sesuatu yang meragukan saya kerana mereka ada additional seal, mereka boleh buka dan tutup peti itu pada bila-bila masa sahaja”, katanya.

Difahamkan, sebanyak 177 kertas undi sudah dimasukkan ke dalam peti tersebut sebelum ia disedari Ghee Oon.

Susulan itu, Ghee Oon memaklumkan, beliau akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut, petang ini.

Difahamkan, proses pengundian di saluran itu telah disambung semula kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights