KOS perjalanan pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) antara sebab peratusan keluar mengundi agak kurang di Kelantan.
Menerusi tinjauan di laman Twitter, ciapan milik Mat_Jaket memberitahu ramai kenalannya berasal dari Kelantan tidak pulang ke kampung halaman untuk mengundi hari ini.

Ramai juga kawan aku yang orang Kelantan tak balik mengundi. Apa dah jadi ni? Soalnya.
Antara komen-komen yang diterima adalah hari pengundian dilakukan pada pertengahan bulan menyukarkan pengundi untuk pulang ke kampung kerana memikirkan faktor kos perjalanan.
Selain itu, ada juga pengguna laman itu berkata anak perantau tidak mahu pulang mengundi kerana mahu memberi peluang rakyat tempatan untuk memilih.
“Keluarga saya hampir semua tak balik. Lebih kurang 20 undi juga. Kita biarkan local yang tentukan apa mereka nak. Jika mereka pilih PAS lagi, jangan salahkan perantau. Mereka sendiri yang nak begitu,” katanya.

“Kami semua enam beradik tak balik. Gaji belum masuk nak balik. Biarlah orang yang menetap Kelantan yang tentukan masa depan mereka. cakap lebih-lebih pun air teh beng juga,” kata NarutoHinata.

Kelantan masih lagi merekodkan peratusan keluar mengundi paling rendah sempena PRN ini iaitu sebanyak 45 peratus setakat jam 2 petang.
Terengganu dan Kedah masing-masing mencatatkan 56 peratus, iaitu yang tertinggi setakat jam 2 petang ini.
Ia diikuti Pulau Pinang 53 peratus, Selangor 51 peratus manakala Negeri Sembilan 49 peratus. – Malaysiapost