‘Saya tak tahu nama calon MB baharu’ – Mohd Amar

TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan beliau tidak mengetahui siapa yang akan dilantik menjadi Menteri Besar baharu bagi menggantikan Datuk Ahmad Yakob.

Ini kerana menurutnya, calon berkenaan akan ditentukan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan mendapat perkenan Sultan Kelantan.

Bagaimanapun Mohd Amar memberitahu bahawa PAS sudah bermesyuarat kelmarin di Terengganu untuk berbincang mengenai perkara itu.

“Saya tidak boleh ulas perkara itu, untuk maklumat lanjut perlu rujuk (Setiausaha Agung PAS) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden PAS.

“Untuk jawatan Menteri Besar memang akan melalui tiga proses iaitu bermula dari Menteri Besar sedia ada akan mengangkat nama kepada Presiden PAS sebelum nama berkenaan dipersembah kepada Sultan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Panji, dekat Kota Bharu.

Semalam, Takiyuddin mengumumkan Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar baharu dengan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan itu jika menang PRN.

Katanya, gabungan kepimpinan di Kelantan membabitkan tokoh agamawan dan tokoh teknokrat itu tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung gabungan agamawan dan teknokrat itu, Mohd Amar yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor berkata, gabungan berkenaan bagus.

“Bagi kita bagus kerana sebelum ini pun dalam barisan Exco kita sudah menggabungkan perkara itu cuma bukan membabitkan Menteri Besar dan Timbalan,” katanya. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights