MUDA akur, terima kekalahan dengan hati terbuka – Syed Saddiq

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, partinya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), semalam.

Syed Saddiq berkata, kegagalan MUDA pada PRN kali ini tidak akan mematahkan semangat sebaliknya menjadi satu pengajaran yang mematangkan mereka.

Beliau berkata, ini kali pertama MUDA bertanding bersendirian pada pilihan raya tanpa pakatan dengan parti lain, justeru semestinya mereka menghadapi pelbagai cabaran.

“Kita akui bahawa ini bukan satu perkara yang mudah dengan pelbagai rintangan dan cabarannya yang tersendiri khususnya daripada segi persediaan, pendanaan, jentera tetapi ini adalah permulaan untuk langkah yang lebih jauh ke hadapan.

“Namun kami juga berpandangan bahawa ini juga adalah cabaran dan dugaan yang perlu kami lalui sekarang untuk kami mengetengahkan pemimpin-pemimpin yang baharu, yang menzahirkan pendirian MUDA kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Syed Saddiq berkata, MUDA mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan semua calonnya namun bertekad untuk terus memperbaiki diri dan parti serta akan meneruskan komitmen sebagai suara semak dan impak bagi rakyat Malaysia.

“Sebab itu kekalahan kali ini akan terus mematangkan MUDA dalam matlamat dan misi kami untuk membina Malaysia maju, Malaysia yang menghormati daripada sudut rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama, Malaysia membawa politik baharu.

“Ini sebagai satu langkah untuk kami terus maju ke hadapan dan kami akan terus belajar daripada pengalaman ini,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menzahirkan terima kasih dan penghargaan kepada pengundi yang memberikan undi mereka kepada calon-calon MUDA yang bertanding pada PRN kali ini.

“Terima kasih kepada rakyat yang sudi memberikan peluang kepada calon-calon kami dalam PRN.

“Kami juga menghormati keputusan ini dan menerima dengan hati yang terbuka,” katanya.

Untuk rekod, MUDA bertanding di 19 kerusi di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu tetapi gagal memenangi sebarang kerusi. Semua calon parti itu kehilangan wang deposit. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights