KEJAYAAN legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din yang melakar kejutan menewaskan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah kerana sokongan berterusan pengundi muda.
Radhi yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu, berkata ini turut membuktikan penduduk di situ sedia untuk melakukan perubahan.
Ujarnya, sebagai balasan terhadap sokongan padu itu, beliau akan berusaha untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan ketika kempen.
“Tidak dinafikan bahawa gelombang ini adalah salah satu faktor yang penting, tetapi tapi dalam politik semasa ini, anak muda juga sudah ‘mengetahui’ corak pemerintahan PH dan ini menyebabkan mengapa mereka menolak.
“Ini adalah cabaran baharu yang ada di Kedah dan kita cuba perbaiki segala kelemahan, kita akan persembahkan yang terbaik untuk pentadbiran Kedah,” katanya.
Pada PRN semalam, Radhi yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menang dengan majoriti 10,104 undi selepas memperoleh 18,936 undi, berbanding Mahfuz yang meraih 8,832 undi.
Dalam pada itu Radhi menganggap kemenangannya menewaskan Mahfuz adalah ketentuan kerana beliau pernah tewas kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Ini satu proses biasa sama ada di Pokok Sena atau juga di mana sahaja kerana ini adalah proses pertandingan dalam politik.
“Sebelum ini ketika PRU15 mungkin gelombang kita tak mampu nak hadapi, tetapi pada hari ini, gelombang itu berpatah balik bersama PN,” katanya. -Malaysiapost