AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menasihati Umno jangan panik termasuk membuat keputusan meninggalkan Kerajaan Perpaduan, susulan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), semalam.
Mohd Puad berkata, sebaliknya Umno perlu fokus terhadap agenda ekonomi rakyat dan ekonomi negara selain perlu mencipta naratif baharu yang ‘sampai’ kepada pengundi.
“Sekali lagi Umno berhadapan ujian berat. Menang 19 sahaja daripada 108 kerusi yang ditandingi. Umno semakin hilang sokongan orang Melayu.
“Bukan mudah untuk Umno mencari formula baru. Tetapi Umno jangan panik seperti mahu tinggalkan Kerajaan Perpaduan. Fokus agenda ekonomi rakyat dan ekonomi negara,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Mohd Puad menegaskan Umno perlu berani berubah dengan menampilkan ‘ayam sabung’ tulen dan bukan lagi meletakkan jawatan parti sebagai ‘tiket’ menjadi calon.
“Mereka yang kalah dan berumur 45 tahun ke atas jangan bertanding lagi di pilihan raya akan datang. Jawatan parti bukan tiket percuma jadi calon. Tampilkan ayam sabung tulen.
“Menteri Umno mesti ‘deliver’. Elak rakyat meluat pada tingkah laku Umno. Parti perlu naratif baru yang sampai kepada pengundi,” katanya.
Terdahulu, BN hanya memenangi 19 kerusi daripada 108 DUN yang ditandingi dalam PRN, semalam.
Sementara, Perikatan Nasional (PN) menang 146 kerusi dan Pakatan Harapan 80 kerusi. – Malaysiapost