Umno perlu kerja kuat kembalikan kepercayaan rakyat – Asyraf Wajdi

SEMUA pemimpin dan ahli Umno diseru supaya bangkit dan tidak terus meratapi kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan Umno perlu bekerja kuat untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dengan memfokuskan kepada prestasi khidmat dan kerja dalam urusan pentadbiran dan pengurusan negara, termasuk ekonomi yang banyak memberi impak kepada rakyat.

“Biarlah rakyat menilai prestasi ini terutamanya pentadbiran di peringkat Persekutuan, di samping  negeri-negeri di bawah Kerajaan Perpaduan termasuk tiga negeri yang berjaya dikekalkan dalam PRN kali ini.

“Moga Allah permudahkan segala usaha baik yang disulami keikhlasan hanya bermatlamat untuk khidmat yang terbaik demi rakyat,” katanya.

Asyraf dalam pada itu berkata, Umno menerima keputusan PRN semalam dengan berlapang dada dan penuh keinsafan.

“Yang menang tak menang semua yang kalah tak kalah semua.

“InsyaAllah, Umno dan BN akan melakukan proses introspeksi menyeluruh dan muhasabah dalaman terperinci berasaskan keputusan ini,” katanya.

Beliau berkata, secara umum kerjasama antara jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) juga dilihat semakin baik biarpun baru empat bulan bergabung.

Asyraf Wajdi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada jentera parti dari seluruh negara yang berkampung lebih dua minggu di enam negeri pada PRN ini.

“Sesungguhnya pengorbanan dan kerja kuat semua amatlah dihargai dan hanya Allah sahajalah yang mampu membalas segalanya dengan limpahan rahmat dan keberkatanNya jua,” katanya. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights