AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan tindakan mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan bukan langkah penyelesaian.
Sebaliknya, beliau berkata, prestasi buruk yang direkodkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, adalah tanggungjawab semua.
“Jangan menuding jari. Ia beban bersama. Mendesak Zahid letak jawatan bukan penyelesaian. Semua bertanggungjawab.
“Umno perlu dapat balik sokongan orang Melayu. Menteri-menteri Umno mesti serius menjayakan agenda Melayu dan rakyat. Kuasa di tangan mereka.
“Sebab itu Umno mesti kekal dalam kerajaan Perpaduan. PH-BN perlu mengukuhkan kerjasama. Zahid sesuai pikul misi ini. Dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Mohd Puad menyelar tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin yang disifatkan sebagai angkuh apabila mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan.
“Muhyiddin angkuh bila suruh Zahid letak jawatan. Bila PN kalah teruk di Melaka dan Johor dia tidak letak jawatan. Dia kekal Presiden Bersatu sedangkan dia kluster mahkamah,” katanya.
Terdahulu, PN mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta-merta.
Muhyiddin berkata, kejayaan besar PN meraih sokongan pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) menandakan bahawa gabungan itu adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini.
“Ini membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan termasuk juga masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar dan Ahmad Zahid,” katanya. – Malaysiapost