Polis akan panggil Sanusi berhubung pamer kertas undi – KPN

POLIS akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk dirakam keterangan kerana mempamerkan kertas undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata semua pihak perlu memberi peluang kepada polis untuk menyiasat kes tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan panggil Muhammad Sanusi untuk dirakam percakapan.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Kita akan menyiasat, bagi peluang polis siasat dulu, ambil keterangan dan semua (proses). Kalau tidak ada kesalahan, tidak adalah.

“Polis tidak akan menganiayai sesiapa dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Razarudin berkata, bagi membuat pertuduhan, ia bukan diputuskan pihaknya, tetapi polis akan membuat cadangan kepada Peguam Negara selepas melihat keterangan.

“Kita juga takkan hendak memandai tambah keterangan dan terpulang kepada Pejabat Peguam Negara untuk tuduh atau tidak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Sanusi didakwa menayangkan kertas undi kepada petugas media yang membuat liputan ketika beliau menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sik, Kedah.

Sementara itu, beliau berkata, polis juga akan menyiasat semua laporan berkenaan penyalahgunaan kad pengenalan individu lain semasa PRN baru-baru ini.

Sebanyak 94 laporan polis diterima berhubung kesalahan salah guna kad pengenalan pada hari pembuangan undi sempena PRN di enam negeri, Sabtu lalu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights