PENYANYI popular Indonesia Kris Dayanti mengecam tindakan penganjur memaksa finalis Miss Universe Indonesia 2023 telanjang dan gambar peserta tanpa seurat benang dirakam.
Kris Dayanti yang lebih dikenali sebagai KD merupakan Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia mengecam sekeras-kerasnya dakwaan berhubung perkara itu.
Menurut laporan media tempatan Indonesia, Kris Dayanti berkata pertandingan kecantikan mestilah mengangkat martabat wanita.
Sepatutnya ia tidak dikaitkan dengan sebarang unsur salah laku seksual.
“Pertandingan kecantikan bagi wanita Indonesia adalah sebuah kesempatan untuk mengekspresikan karya dan prestasi.
“Maka kita harus menjunjung tinggi nilai-nilai dan norma budaya Indonesia di pertandingan antarabangsa, sesuai dengan harkat dan martabat wanita.
“Kes dakwaan salah laku seksual dialami finalis Miss Universe Indonesia perlu ditangani segera. Selain melanggar hak asasi manusia, salah laku seksual ini mencalarkan keyakinan masyarakat,” katanya seperti dilaporkan news.detik.com.
Kris Dayanti menyeru pihak berkuasa untuk segera menyelesaikan kes terbabit lebih-lebih lagi siasatan awal mendapati sesi pemeriksaan badan itu dilakukan oleh individu yang bukan berkelayakan.
Katanya, Miss Universe Indonesia 2023 menjadi sorotan antarabangsa ekoran gangguan seksual terhadap pesertanya.
Menurut laporan portal itu lagi, sekurang-kurangnya 11 finalis mendakwa mereka menjadi mangsa pemeriksaan badan itu melaporkan kepada polis.
Dia mengecam tindakan terbabit yang merakam finalis telanjang ketika “body checking” selain ada yang melakukan “body shaming” terhadap peserta.
“Perempuan harus bisa menjaga dan membela kehormatan sesama perempuan.
“Kalau kita sendiri saja tidak saling menjaga, bagaimana kita bisa berjuang di luar kaum perempuan?,” katanya lagi.- Malaysiapost