GRS tak akan ‘bercerai’ dengan PH, BN

GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) menyatakan komitmen untuk terus bersama Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kedudukan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) Sabah juga kekal.

“Saya ingin nyatakan pada PRN akan datang, kita terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan termasuk PH di Sabah.

“Jadi kita tidak boleh berpisah dengan rakan kita, PH dan lain-lain termasuk BN,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) 2023 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Katanya kerjasama itu bagi memastikan pembangunan di Saah dapat dilaksanakan secara terancang melalui politik yang stabil.

“Ini kerana kita mahu bangunkan Sabah dan rakyatnya, janganlah terlampau berpolitik sini sana dan kacau-bilau,” katanya lagi.

Hajiji diminta mengulas mengenai cadangan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Yong Teck Lee, berhubung cadangan supaya GRS bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.

Teck Lee dilaporkan berkata, parti nasional dari Semenanjung khususnya BN, PH dan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu bertanding pada PRN itu nanti.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata cadangan itu hanya pandangan peribadi Teck Lee.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights