Saya tidak ada dalam pesawat terhempas – anak Jamaluddin Jarjis

ANAK lelaki Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ikwan Hafiz menafikan beliau antara 10 mangsa terkorban dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, petang tadi.

Ikwan, 36 dalam kenyataan ringkas kepada Bernama berkata laporan disiarkan dalam media utama menyatakan namanya antara yang tersenarai menaiki pesawat ringan itu adalah tidak benar dan palsu.

“Saya kesal dengan tindakan dilakukan segelintir pengamal media yang tidak bertanggungjawab dan menyiarkan berita secara melulu, tanpa sebarang semakan sehingga menimbulkan spekulasi yang mengganggu ketenteraman keluarga.

“Sehubungan itu saya meminta agar masyarakat umum menghentikan penyebaran berita palsu berkenaan.

“Pada masa yang sama, saya mewakili pihak keluarga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terlibat,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan orang kenamaan adalah antara 10 maut dalam kejadian itu. 

Antara yang terkorban adalah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam kenyataan memaklumkan Menara Kawalan Trafik Udara Subang melihat asap dari lokasi nahas pada jam 2.51 petang.

Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan membawa lapan orang termasuk dua kru penerbangan.- Malaysiapost

Kredit Foto: Berita Harian

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights