Saya kehilangan sahabat, EXCO yang komited – Wan Rosdy

MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bertemu kali terakhir dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun beberapa jam sebelum nahas pesawat ringan di Elmina, Selangor, petang semalam.

Wan Rosdy berkata, beliau kehilangan seorang EXCO yang sangat rajin, progresif dan dinamik, malah sentiasa membawa permasalahan terutama di bawah portfolio disandangnya.

“Sudah tentu saya amat sedih kerana setiap minggu kami selalu bermesyuarat.

“Pemergian beliau mengejutkan, di luar dugaan… saya terharu, kehilangan seorang sahabat dan rakan sejawat dalam barisan EXCO.

“Semalam (Rabu) baru mesyuarat EXCO dengan beliau, semalam beliau sangat aktif (ketika) mesyuarat dan (kami) makan tengah hari bersama.

“Pagi tadi (semalam) mesyuarat di Langkawi (beberapa jam sebelum nahas).

“Selesai mesyuarat beliau bergegas balik ada urusan lain dan kemudian saya dapat tahu mengenai nahas itu,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini tengah malam tadi.

Mengulas mengenai mesyuarat di Langkawi, Wan Rosdy berkata, Allahyarham ada menyentuh kelewatan projek berkaitan perumahan di bawah portfolionya.

Bagaimanapun, katanya, tiada perubahan ketara pada Johari kecuali sangat aktif pada mesyuarat itu.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Pahang akan menanggung segala kos pengurusan jenazah mangsa dalam pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina berdekatan Lebuhraya Guthrie, Shah Alam itu.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights