“Kami nak menang pingat emas dengan menewaskan Thailand!”
Itu tekad skuad sepak takraw lelaki kebangsaan menjelang Sukan Asia Hangzhou yang akan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober ini.
Tekong negara, Muhammad Syahir Rosdi, berkata selepas Thailand mengesahkan penyertaan dalam acara antara regu dan regu berpasukan, ia melonjakkan lagi semangat barisan pemain untuk melakar kejayaan di bumi Hangzhou.
“Apabila kami dengar Thailand menyertai acara antara regu dan berpasukan, semua pemain teruja.
“Ia meningkatkan lagi semangat kami.
“Sebagai pemain, kami anggap ia perkara biasa kalau dapat menang dengan Indonesia atau negara lain malah saya percaya peminat turut merasakan perkara yang sama.
“Jadi, kami mahu buktikan kami mampu untuk menewaskan Thailand pada Sukan Asia kali ini,” katanha kepada BH Sukan.
Muhammad Syahir turut meletakkan sasaran peribadi membawa pulang dua emas dari Hangzhou dalam acara antara regu dan berpasukan.
Pada edisi 2018 di Palembang, Indonesia, skuad negara berjaya meraih emas antara regu yang turut dibarisi Syahir selepas menewaskan Indonesia dalam aksi final yang menyaksikan Thailand tidak menyertai acara berkenaan.
Namun, Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan Thailand apabila terpaksa berpuas hati dengan perak dalam acara regu berpasukan selepas tewas di tangan lawan itu dalam aksi final.
Edisi kali ini menyaksikan skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun diundi dalam Kumpulan A bagi acara antara regu bersama Singapura dan Myanmar manakala bagi acara regu berpasukan, Malaysia dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Korea Selatan.- Malaysiapost