Usaha tumbang Kerajaan Perpaduan Perak masih berlaku

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui ada gerakan pihak tertentu untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Beliau berkata, khabar angin yang tersebar sejak beberapa bulan lalu bukanlah sekadar ‘cakap-cakap’ kosong.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, gerakan itu masih berusaha memujuk sekurang-kurangnya empat ahli dewan undangan negeri (ADUN) kerajaan untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) selaku pembangkang bagi memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan.

“Dalam pengetahuan kita memang ada gerakan itu, bukan setakat mereka sekadar mengeluarkan kenyataan akhbar.

“Nampaknya mereka tak berpuas hati dengan keputusan PRN sebab dia mengharapkan jika PN dapat merampas enam negeri, bermakna dia nak gambarkan satu gelombang baru penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan… tetapi itu tak berlaku.

“Begitu juga dalam konteks di Perak yang dalam pengetahuan kita memang ada gerakan itu dan sebab itulah kita berjumpa beramai-ramai hari ini (semalam) kerana sekurang-kurangnya kita tak mahu ada antara 33 ADUN kerajaan di sini yang saling syak wasangka antara satu sama lain.

“Sebab dengan cara dia ‘spark’ (cetus) itu, dengan sendirinya mungkin mengundang rasa syak wasangka dalam kalangan rakan-rakan ADUN kerajaan, jadi ia tidak cantik sebegitu.

“Biar mata berpandangan, budi kedapatan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan sesi Perjumpaan Menteri Besar Perak bersama ADUN kerajaan Perak di Hotel Impiana Ipoh, di sini, petang semalam.

Perjumpaan itu membabitkan semua 33 ADUN Perak bagi menyatakan komitmen untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan Perak berikutan terdapat usaha pihak tertentu menimbulkan persepsi kononnya akan berlaku perubahan kerajaan susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, baru-baru ini.

Seramai 29 ADUN, termasuk Saarani hadir ke sesi perjumpaan itu manakala empat ADUN yang melahirkan komitmen mempertahankan kerajaan negeri, tidak dapat hadir atas sebab tugasan.

Saarani menjelaskan, empat ADUN yang tidak hadir atas sebab tugasan ialah ADUN Kepayang, Nga Kor Ming; Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Sungai Rapat); Loh Sze Yee (Jalong); dan Muhamad Arafat Varisai Mahamad (Hulu Kinta).- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights