PEMBANGKANG mencetuskan kontroversi apabila tidak menolak kemungkinan akan menggunakan logo dan tema berbeza bagi sambutan Hari Kebangsaan di empat negeri dikuasa Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin menggunakan
logo dan tema yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri.
Ahmad Fadhli berkata, logo dan tema alternatif itu dilancar Pemuda PN hari ini.
“Logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.
“Logo ini adalah untuk sambutan rasmi Hari Kebangsaan PN sama ada digunakan dalam ucapan pimpinan (PN), khususnya peringkat Pemuda dan parti yang bernaung di bawah PN.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri yang berada di bawah PN juga akan menggunakan tema sama,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
“Cuma saya tak boleh bercakap bagi pihak kerajaan negeri,” tambah Ahmad Fadhli lagi.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata Pemuda PN akan bertemu kerajaan negeri bagi mendorong mereka menggunakan logo dan tema berkenaan.
Ditanya sama ada tindakan itu menjadikan sambutan Hari Kebangsaan dipolitikkan, Ahmad Fadhli yakin rakyat boleh menerimanya.
“Rakyat boleh menerima tindakan seperti ini, yang dicerminkan dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, bahawa rakyat menerima langkah politik daripada PN,” katanya.- Malaysiapost