Suhaizan, Nazri calon PH untuk PRK Johor

NAIB Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kaiat, diumum sebagai calon parti itu mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September ini.

Selain itu, Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman, turut diumum sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata ia diputuskan Jawatankuasa Pemilihan Calon Bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 17 Ogos lalu.

“Calon ini akan diperkenalkan dalam Majlis Memperingati Datuk Seri Salahuddin Ayob pada 23 Ogos ini di DUN Simpang Jeram, Johor,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi selepas kematian Salahuddin pada 23 Julai lalu.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam akibat pendarahan otak.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights