KERAJAAN Perpaduan tidak apologetik dalam mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun kata Anwar adalah penting mendalami dan memahami al-Quran yang mengandungi mesej yang sarat dengan petunjuk.

“Tanpa kefahaman yang tuntas, ianya akan mewujudkan kelompok yang dangkal dalam ilmu sekaligus melahirkan dua sisi esktrem iaitu kelompok yang mempromosi Islamophobia dan lawannya yang melampau dalam agama.
“Saya juga tegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak apologetik dalam mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan dan memelihara seluruh hak rakyat Malaysia dengan pelbagai latarbelakang agama serta kepercayaan.
“Semoga kita semua mendapat manfaat daripada usaha memulia serta memartabat Al-Quran dalam majlis ini dan seterusnya mengangkat kedudukan umat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu malam tadi Anwar hadir bagi merasmikan Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-63 Tahun 1445H/2023M.
Majlis berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Saya ingin zahirkan ucapan selamat datang dan penghargaan kepada seluruh peserta dan hakim jemputan yang melibatkan wakil dari 52 negara,” kata Anwar.- Malaysiapost