PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Terengganu memuji kematangan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang enggan menggunakan logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan yang diilhamkan Pemuda Perikatan Nasional (PN).
Pengerusinya, Raja Bahrin Shah, berkata tindakan kerajaan negeri Selangor adalah tepat pada masanya.
“Kami menyambut baik kenyataan Menteri Besar Terengganu untuk menggunakan logo Hari Kebangsaan yang sama seperti di tetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Hari Kebangsaan hendaklah di sambut oleh semua pihak tidak kira fahaman politik dalam semangat penyatuan demi negara Malaysia yang disayangi.
“Kenyataan Menteri Besar Terengganu tersebut tepat dan kena pada masanya dan dialu-alukan untuk diikuti oleh semua pihak pembangkang dan juga kerajaan.
“Apa jua perbezaan pendapat hendaklah diketepikan demi membina negara yang lebih makmur dengan semangat kejayaan kita menyambut hari kebangsaan bersama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri Terengganu akan menggunakan logo dan tema yang telah ditetapkan kerajaan pusat iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.
Ia sekali gus mengenepikan cadangan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari supaya negeri dikuasai PN menggunakan logo dan tema dihasilkan Pemuda PN.
Sementara itu, Raja Bahrin berkata Hari Kebangsaan seharusnya disambut tanpa memikirkan fahaman politik.
“Kita baru melalui PRU-15 sembilan bulan lalu, PRN enam negeri minggu lepas dan akan terpaksa menghadapi pula beberapa pilihan raya kecil disebabkan pemergian dua orang wakil rakyat.
“Kasihanlah rakyat yang sedang bergelut dengan keadaan ekonomi yang kurang baik dan tidak menentu selepas dua siri pilihan raya yang sengit yang meletihkan minda dan badan mereka,” katanya lagi. -Malaysiapost