KERAJAAN menetapkan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) sebagai antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu adalah usaha kerajaan untuk merancakkan landskap pelaburan negara.
“Keputusan ini telah dibuat semasa Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara Kedua (MPN/02/2023) di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini.
“Kerajaan, khususnya melalui MITI komited untuk sentiasa mengimbangi kedua-dua pelaburan langsung asing (FDI) dan DDI bagi merangsang pembangunan yang lestari dan seimbang di seluruh negara.
“Kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting, bukan sahaja bagi menjana pertumbuhan KDNK yang mampan, tetapi juga bagi memperkasakan ekosistem ekonomi domestik dalam menghadapi pelbagai cabaran global, termasuk ancaman perubahan iklim, serta pelbagai cabaran pasca-pandemik dan geopolitk yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata, pelaburan DDI yang strategik juga berpotensi menarik lebih FDI kerana pelabur asing sentiasa menganggap DDI sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar kerajaan bagi memantapkan lanskap pelaburan dan perniagaan negara.
Katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan peningkatan DDI, namun berpendapat bahawa usaha meningkatkan DDI perlu lebih menyeluruh.
“Sehubungan itu, mesyuarat MPN hari ini juga menekankan salah satu mesej Ekonomi MADANI yang diumumkan pada 27 Julai lalu iaitu mengenai betapa pentingnya kerjasama dan pembabitan strategik oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memperkasakan DDI.
“Secara keseluruhannya, GLIC hari ini mengurus aset pelaburan bernilai lebih RM1.7 trilion, dan memainkan peranan yang penting bukan sahaja bagi memacu pembangunan infrastruktur kritikal, dan membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi baharu, tetapi juga bagi membantu menarik pelabur asing ke Malaysia.
“MPN mengakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara satu sama lain dan saling melengkapi. FDI penting bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi manakala DDI penting bagi memperkukuhkan ekonomi negara,” katanya.- Malaysiapost