PRK Pelangai bukan laluan mudah untuk BN

PERIKATAN Nasional (PN) Pahang tidak akan sesekali memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan PAS negeri, Mohd Tarmizi Yahaya selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang, menerima notis pengisytiharan kekosongan kerusi DUN Pelangai daripada Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin Isnin lalu.

Beliau berkata, parti gabungan itu sudah bersedia untuk berdepan PRK DUN Pelangai yang akan ditetapkan tarikh oleh SPR dalam masa terdekat.

“Kita yakin mampu mencapai keputusan membanggakan.

“PN dalam misi memburu kerusi ke-18, kita rasa (yakin ) ada peluang untuk mendapatkan undi melayu di situ (DUN Pelangai).

“Jadi, kita tidak akan memberi laluan kepada BN-PH dengan kemenangan percuma di DUN Pelangai,  sebaliknya PN Pahang akan masuk bertanding dan cuba untuk merebut kerusi ini,” katanya ketika dihubungi, di Kuantan, hari ini.

Menjawab mengenai calon PN, Mohd Tarmizi yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Panching berkata, senarai nama calon yang berkelayakan sudah dihantar kepada PAS Pusat.

“Siapa calon bertanding, itu rahsia dan ia masih lagi belum diputuskan oleh PAS Pusat.

“Tapi PAS Pahang mengharapkan supaya calon anak tempatan diketengahkan dalam PRK DUN Pelangai,” katanya.- Malaysiapost

Pada Isnin, SPR memaklumkan akan mengadakan satu mesyuarat khas pada Khamis ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK DUN Pelangai, Pahang.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam  kenyataan berkata ia berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Allahyarham Johari, merupakan seorang daripada 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam.

Jenazah Johari selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Gombak, Selangor, pada Ahad.

Johari, 53, yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) tahun lalu.

Beliau bersaing empat penjuru dan memperoleh 7,308 undi dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; calon Pakatan Harapan (PH), Ahmed Wafiuddin Shamsuri; dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights