DD Chronicles akui ibu bapa pemegang kad pengenalan merah

PEMPENGARUH media sosial, Dediy Sulaeman Ra’e,43 ataupun Dd Chronicles mengakui ibu bapanya pemegang kad pengenalan merah, namun dia adalah rakyat Malaysia yang lahir di negara ini.

Dediy mendakwa dia dilahirkan di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan awal di negara ini.

Katanya, Allah SWT telah menetapkan dia lahir di negara ini sambil mendakwa tidak mempunyai niat untuk menyorok keturunannya.

“Ya, saya keturunan Boyan, Jawa…Saya tak sorok, sebab itu saya tidak kisah orang nak sebar pasal saya sebab mereka dapat di media sosial saya. Kalau saya nak sorok saya dah padam semuanya.

“Memang Ibu bapa saya memegang kad pengenalan merah, tapi Allah SWT takdirkan saya lahir di sini, bukan saya minta.

“Jadi saya rasa dakwaan yang mengatakan saya pendatang asing adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal waras,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dediy hadir ke di Balai Polis Kampung Baru Sungai Buloh bagi membuat laporan polis, hari ini.

Ia berhubung kecurian data miliknya apabila orang ramai dapat mengakses maklumat peribadinya.

Dediy berkata dia turut menunjukkan sijil kelahiran kepada pihak polis semasa membuat laporan.

Pihak media juga ditunjukkan dengan dokumen peribadi milik pempengaruh itu.

“Saya berhak menyuarakan pandangan dan pendapat saya demi masa depan anak cucu saya kelak.

“Saya harap mereka yang menyebarkan perkara tidak betul pasal saya, padam lah,” katanya lagi.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights