BEKAS pemimpin tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman menyindir parti gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu Gerakan yang turut membantah program “Islamisasi” diperkenalkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu merujuk kenyataan pemimpin Gerakan yang disiarkan akhbar berbahasa China menolak pelaksanaan penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi oleh KPM.
Oleh itu Muhammad Faiz berkata, beliau tidak teruja untuk menyerang DAP dan MCA dalam isu berkenaan.
“Sebab tu saya tak teruja bila ‘cytros dan macai’ politik pembangkang tibai DAP dan MCA bila ada wakil dari kedua-dua parti itu bantah inisiatif KPM tersebut.
“Kerana apa jua elemen yang berbaur Islamisasi atau polisi yang melibatkan istilah Bumiputera di negara majmuk ini akan dapat bantahan dari kelompok yang Bukan Muslim dan bukan Bumiputera.
“Anggaplah itu normal kerana dalam negara demokrasi mana-mana pihak ada hak untuk menyuarakan bantahan (melalui hujah mereka) asalkan tidak melampaui batas seperti menghina agama atau kaum,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Kelmarin, KPM melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.
Modul itu akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah di bawah KPM tahun depan.
Bagaimanapun perkara itu mendapat bantahan segelintir pihak bukan Islam mengenai pelaksanaannya.
Dalam pada itu Muhammad Faiz berkata, bantahan bukan Islam terhadap elemen atau polisi itu tidak perlu dilabel sebagai “kafir harbi” atau “musuh Allah”.
“Dalam negara ini Ketua Agama Islam negara adalah Yang di-Pertuan Agong. Manakala Ketua Agama Islam negeri-negeri yang bersultan adalah para Sultan negeri berkenaan dengan diwakili oleh para mufti.
“Sebarang fatwa untuk melabel atau mengisytiharkan sesuatu yang dianggap memusuhi Islam sewajarnya datang dari mereka, bukan dari pihak lain terutamanya pihak politik,” katanya lagi.