PENIAGA tidak boleh menggunakan alasan lambakan stok gula premium dalam simpanan sebagai punca mereka menjual gula biasa secara bersyarat.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh ketika ditanya mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap seorang peniaga di Perak semalam.
“Tidak boleh (gunakan) apa pun alasan sama ada (alasan) stok (gula premium) banyak atau sebagainya.
“Perkara itu adalah satu kesalahan kerana pengguna juga ada hak dan dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 (atau Akta 599),” katanya.
Fuziah berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program jelajah jualan Rahmah dan pelancaran jualan Rahmah bergerak peringkat negeri Pahang di perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini, hari ini.
Semalam, pasukan penguat kuasa KPDN Perak menyerbu sebuah premis perniagaan di Batu Gajah, dekat Ipoh, selepas menerima aduan mengenai tindakan peniaga itu meletakkan syarat untuk pembelian gula pasir biasa.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dilaporkan berkata, pegawai penguat kuasa melakukan pemeriksaan dengan taktik penyamaran di premis terbabit dan mendapati pemilik kedai itu meletakkan syarat jika mahu membeli gula pasir kasar, perlu terlebih dahulu melakukan pembelian 1 kilogram gula putih jernih (premium) yang berharga RM4.50 sepaket.
Sementara itu, mengulas mengenai program jualan Rahmah di Pahang, Fuziah memberitahu pihak KPDN merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan dewan undangan negeri (DUN).
Katanya, sejak dilancarkan awal tahun ini, program jualan Rahmah sudah memberi manfaat kepada lebih 200,000 penduduk di Pahang.- Malaysiapost