Bukit Aman siasat Abdul Hadi pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

POLIS sedang melakukan siasatan susulan kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di Markas PAS Bakri, Muar, malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Beliau memberitahu, sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.

“Tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Abdul Hadi ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri, dekat Muar, malam Sabtu lalu dilaporkan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa diajarkan Islam.

Abdul Hadi berkata, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya Lembaga Pengampunan.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights