Calon PN sedia kempen berhemah

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram akur permintaan dan saranan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya kempen secara berhemah dan tertib.

Dr Mohd Mazri Yahya, berkata pihaknya menyahut seruan Menteri Besar itu demi perpaduan rakyat di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, pembabitan jentera luar negeri tidak dapat dielakkan kerana ia adalah lumrah bagi setiap kali PRK atau PRN.

“Mana-mana pilihan raya sekali pun, memang begitulah sama ada Pakatan Harapan (PH), BN dan PN, perkara sama tetap akan dilalui.

“Menariknya kerana kita baharu selesai mengadakan PRN di enam negeri dan (kali ini) hanya dua sahaja PRK (Pulai dan Simpang Jeram Pulai), jadi jentera pasti tertumpu di Johor,” katanya selepas Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri di Muar.

Sementara itu, Mazri meminta jentera supaya tidak menyerang Umno secara keterlaluan kerana khuatir akan menjejaskan sokongan kepada mereka.

Sebaliknya jentera PN perlu memujuk mereka yang kecewa dengan tindak-tanduk kepimpinan parti itu supaya dapat menarik sokongan pengundi atau ahli Umno yang kecewa.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights