Hospital swasta sesak sebab kurang jururawat

PERSATUAN Hospital Swasta Malaysia (APHM) menafikan laporan media bahawa hospital swasta di negara ini sesak kerana peningkatan penyakit Influenza, sebaliknya perkara itu berlaku kerana kekurangan jururawat.

Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh mengakui beberapa hospital swasta di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menyaksikan peningkatan kemasukan pesakit dijangkiti Influenza A, namun kadar itu bukan berada di tahap membimbangkan.

“Secara umumnya, hospital swasta menyaksikan peningkatan kemasukan pesakit yang mendapatkan rawatan untuk pelbagai penyakit kronik mahupun bukan kronik serta kecemasan.

“Selepas pandemik, permintaan untuk penjagaan kesihatan dilihat meningkat, kami tidak melihat ia disebabkan COVID-19 tetapi mungkin kerana tempoh perintah kawalan pergerakan yang panjang sehingga menjadi punca kurangnya penjagaan atau pemantauan terhadap kesihatan diri.

“Kami di hospital swasta mengalami masalah kekurangan kakitangan, terutamanya dalam bidang kejururawatan sehingga menghalang kami daripada meningkatkan kapasiti katil di pusat kesihatan.

“Ini kerana permintaan kepada kerajaan sudah dibuat beberapa kali untuk mengambil jururawat swasta asing bagi memenuhi keperluan semasa masih belum membuahkan hasil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan APHM mengeluarkan amaran bahawa katil di hospital kini mula dipenuhi sehingga menjejaskan tempoh pemberian rawatan kepada pesakit.

Menurut laporan itu, untuk Julai sahaja ia menyaksikan peningkatan kemasukan pesakit dan penggunaan katil yang membimbangkan dengan sebahagian besar krisis itu disebabkan wabak Influenza sedang melanda negara.

Portal itu turut mendedahkan, terdapat beberapa individu yang sukar untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta walaupun mempunyai perlindungan insurans selain terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk mendapatkan bilik bagi anaknya yang dijangkiti Influenza.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights