PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji semula semua pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, jika “memo dalaman” yang didakwa ditujukan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang tular baru-baru ini sahih, ia adalah satu penganiayaan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
“Rakyat, khususnya kepimpinan dan ahli Umno menaruh keyakinan bahawa penganiayaan yang dikenakan kepada Datuk Seri Najib atas arahan kerajaan dan pemimpin ketika itu.
“(Ia) harus dijadikan asas untuk memperlihatkan bahawa keadilan mesti diberikan keutamaan oleh pihak AGC.
“Kami mempunyai keyakinan penuh pada kredibiliti dan kemampuan AGC untuk meneliti serta melakukan sesuatu yang lebih positif supaya Datuk Seri Najib benar-benar diberi keadilan,” katanya kepada media.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Jualan Desa Madani (JDM) di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai satu dokumen yang didakwa ‘Memo dalaman’ daripada AGC oleh pasukan pendakwaan bagi kes International Petroleum Investment Company (IPIC), iaitu firma pelaburan Abu Dhabi.
“Memo dalaman” bertarikh 10 September 2019 itu menyentuh mengenai enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Dokumen itu dikatakan ditujukan kepada Tommy, yang menjadi Peguam Negara ketika itu.
Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh baru-baru ini mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat kesahihan dokumen berkenaan.
Semalam giliran Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersuara menuntut siasatan yang sama dilakukan pihak berkuasa.- Malaysiapost