PAS hari ini secara rasmi menyatakan kesediaan untuk kembali bekerjasama dengan UMNO.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Namun, persetujuan untuk bekerjasama itu hanya boleh dilakukan dengan syarat.
“Boleh (kembali bekerjasama) asalkan tidak membabitkan pemimpin parti (UMNO) yang berpakat dengan DAP,” katanya.
Tuan Ibrahim juga percaya masih ramai ahli akar umbi UMNO ‘sayangkan’ Muafakat Nasional (MN) yang pernah wujud selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan UMNO gagal menubuhkan kerajaan Pusat.
“Kita mesti buang yang keruh, yang punya agenda peribadi sehingga mengetepikan agenda ini dan sanggup bersekongkol dengan DAP yang jelas ditentang sebelum ini,” katanya lagi kepada FMT.
Meskipun MN tidak pernah dibubarkan, kerjasama itu dilihat tidak relevan apabila PAS memilih untuk bersama BERSATU dalam PRU15.
“Gagasan penyatuan ummah MN masih terbuka dan PAS bersama BERSATU dalam PN yakin ummah ini perlukan penyatuan dan muafakat,” ujar Tuan Ibrahim.
Semalam, veteran UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mahu kedua parti (UMNO-PAS) menghidupkan semua MN demi memperjuangkan agenda orang Melayu.
Tajuddin berkata orang Melayu masih rugi walaupun PAS menang besar pada PRN enam negeri lalu, kerana mereka dilihat berpecah belah dan berlawan sesama sendiri untuk mendapatkan kuasa.- Malaysiapost