Malaysia mampu ke bulan seperti India

MALAYSIA juga mampu mengecapi kejayaan menyusuli India yang mendaratkan kapal angkasa miliknya, Chandrayaan-3 (CY3) di bulan, jika kerajaan meletakkan dasar serta pelan tindakan yang betul.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood berkata, ini termasuk usaha kerajaan melaksanakan inisiatif dan program dengan memberi tumpuan kepada aspek pembangunan modal insan.

Katanya, usaha itu akan membina negara yang bukan sahaja dipenuhi saintis, ahli teknologi, jurutera dan ahli matematik, malah melahirkan individu berani serta dinamik.

Oleh itu, katanya, mesti ada usaha lebih bersepadu untuk melengkapkan bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan kemahiran serta pengetahuan diperlukan industri selepas tamat pengajian.

“Kita juga perlu meneroka dan menawarkan laluan lain untuk kelayakan dan kerjaya STEM kepada rakyat Malaysia.

“Ini memerlukan kerjasama meluas antara kerajaan, pemain industri sektor swasta dan institusi akademik negara dan kami di HRD Corp sentiasa komited memacu usaha ini.

“Siapa sangka, mungkin satu hari nanti, kita juga boleh bertapak di bulan seperti India,” katanya melalui satu kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini.

Bank Dunia melaporkan, dalam kadar 43 peratus, India mempunyai peratusan lulusan STEM wanita lebih tinggi berbanding negara maju lain seperti Amerika Syarikat (34 peratus), United Kingdom (38 peratus), Jerman (27 peratus) dan Perancis (32 peratus).

Katanya, Indian National Skill Development Corporation (NSDC) dan India STEM Foundation juga memainkan peranan penting dalam membentuk tenaga kerja STEM negara melangkaui pendidikan tinggi.- Malaysiapost

Kredit foto: Utusan

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights